Thursday, September 24, 2015

Analisis Petikan

Analisis Kesalahan Tatabahasa
            Petikan yang dipilih bertajuk “Perpaduan Asas Kejayaan” telah dianalisis dari aspek morfologi dan sintaksis. Petikan ini ditulis oleh Asrul Ilham Sany dan dipetik dari “Wadah Siswa” pada tahun 2013. Terdapat beberapa kesalahan bahasa yang telah dijumpai.

Kesalahan 1: Kata Penguat
Perkataan “paling” dan “sekali” merupakan kata penguat yang berfungsi untuk menguatkan maksud yang terkandung dalam kata atau frasa adjektif. Kata penguat dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu kata penguat hadapan, kata penguat belakang dan kata penguat bebas. (Nik Safiah Karim et.al, 2014) Perkataan “paling” merupakan kata penguat hadapan dan diletakkan di hadapan frasa atau kata adjektif, manakala “sekali” merupakan kata penguat belakang dan diletakkan di belakang frasa atau kata adjektif. Kedua-dua kata penguat ini tidak dapat hadir serentak dalam satu ayat. Ayat dalam petikan adalah seperti berikut:
Kesalahan
Ayat Betul
Perpaduan mampu melahirkan kelebihan-kelebihan yang bersifat positif, namun, kelebihan yang paling manis sekali ialah perpaduan dapat membuahkan kejayaan bukan sahaja kepada diri remaja sendiri tetapi juga kepada seluruh komuniti.
Perpaduan mampu melahirkan kelebihan-kelebihan yang bersifat positif, namun, kelebihan yang paling manis / manis sekali ialah perpaduan dapat membuahkan kejayaan bukan sahaja kepada diri remaja sendiri tetapi juga kepada seluruh komuniti.
Jadual 13: Kesalahan Kata Penguat
Kesalahan 2: Tanda Noktah
Dalam petikan ini, tanda noktah diletakkan di tengah-tengah ayat dan bukannya di belakang ayat. Terdapat tiga ayat dalam petikan mempunyai kesalahan ini.
Ayat pertama
Sebaliknya, kita perlu berikan perhatian kepada semua pelajar yang . kita kenali dan memerlukan bantuan kita.
Ayat kedua
Sumbangkan dan bantulah pelajar-pelajar lain . untuk meningkatkan prestasi mereka dalam pelajaran.
Ayat ketiga
Aktiviti yang sering kali dianjurkan oleh kumpulan pengakap seperti perkhemahan, memerlukan kerjasama . yang erat bagi menjamin tiada berlakunya sebarang kemalangan sepanjang aktiviti berlangsung.
Jadual 14: Kesalahan Tanda Noktah
           Secara umum, tanda noktah digunakan pada akhir ayat dan berfungsi sebagai tanda penamat ayat. Oleh itu, tanda noktah tidak boleh diletakkan pada tengah-tengah ayat. Ketiga-tiga ayat di atas dapat dibetulkan dengan menghapuskan titik noktah yang terletak di tengah-tengah ayat.

Kesalahan 3: Ejaan
Dalam petikan ini, terdapat tiga perkataan yang mempunyai kesalahan dari segi ejaan. Ketiga-tiga kesalahan dapat ditunjukkan di dalam ayat berikut. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga kesalahan ini mungkin disebabkan oleh kesilapan semasa menaip petikan. Hal ini demikian kerana perkataan-perkataan yang salah dieja tidak mempunyai sebarang makna.
Kesalahan Ejaan
Ayat betul
Namun, harus diingatkan, pergaulan anatara kawan haruslah bersifat positif dan dapat membantu pelajar dalam menjana kehidupan yang lebih baik.
Namun, harus diingatkan, pergaulan antara kawan haruslah bersifat positif dan dapat membantu pelajar dalam menjana kehidupan yang lebih baik.
Sebaliknya, perpaduan haruslah diperkembangkan sehingga pelajar meninggalkan sekolah untuk memasuki alam masyarakat yang lebih luasdan kemudian diperturunkan kepada generasi yang baharu pula.
Sebaliknya, perpaduan haruslah diperkembangkan sehingga pelajar meninggalkan sekolah untuk memasuki alam masyarakat yang lebih luas dan kemudian diperturunkan kepada generasi yang baharu pula.
Apabila sesuatu yang cantik seperti mural itu dihasilkan, bukankan apa yang dihasilkan juga satu bentuk kejayaan?
Apabila sesuatu yang cantik seperti mural itu dihasilkan, bukankah apa yang dihasilkan juga satu bentuk kejayaan?
Jadual 15: Kesalahan Ejaan
Kesalahan 4: Penggunaan Imbuhan
Terdapat dua kesalahan imbuhan yang terdapat dalam petikan ini. Penggunaan perkataan tersebut dalam ayat kurang sesuai untuk menyampaikan makna yang betul. Kedua-dua ayat yang mempunyai kesalahan imbuhan adalah seperti berikut.
Ayat 1
Contohnya, jika pelajar mempunyai bakat dalam bidang lukisan, catan atau mural dan ingin memberikan sumbangan kepada sekolah dengan menggunakan bakat tersebut, pelajar boleh menawarkan diri sendiri untuk mencantikkan sekolah dengan melukiskan mural.
Kesalahan
melukiskan
Ayat Betul
Contohnya, jika pelajar mempunyai bakat dalam bidang lukisan, catan atau mural dan ingin memberikan sumbangan kepada sekolah dengan menggunakan bakat tersebut, pelajar boleh menawarkan diri sendiri untuk mencantikkan sekolah dengan melukis mural.
          Jadual 16: Kesalahan Imbuhan

             Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “melukiskan” memberi maksud membayangkan atau menceritakan. Oleh itu, penggunaan “melukiskan” dalam ayat tersebut adalah salah kerana mural tidak dapat dibayangkan atau diceritakan. Jadi, perkataan “melukiskan” harus ditukar menjadi “melukis” yang membawa maksud membuat gambar dengan menggunakan pensel, cat air, cat minyak dan sebagainya.
Ayat 2
Apabila para pelajar dapat mempupuk daya perpaduan antara satu sama lain, maka guru-guru sendiri akan turut menghormati serta lebih berusaha untuk menjadikan pelajar-pelajar di bawah didikan atau ajarannya lebih berjaya.
Kesalahan
mempupuk
Ayat Betul
Apabila para pelajar dapat memupuk daya perpaduan antara satu sama lain, maka guru-guru sendiri akan turut menghormati serta lebih berusaha…
Jadual 16: Kesalahan Imbuhan
            Awalan meN- ialah awalan yang membentuk kata kerja aktif. Kata dasar yang bermula dengan huruf p, huruf pertama dalam kata dasar itu akan berubah menjadi bentuk sengau yang sama daerah artikulasinya, iaitu m. Oleh itu, perkataan “mempupuk” harus ditukar menjadi “memupuk”.

Kesalahan 5: Kata Penegas
Kata penegas merupakan perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Berdasarkan petikan, kata penegas “hanya” dan “sahaja” digunakan dalam satu ayat. Ayat tersebut adalah seperti berikut:
Ayat
Kemalangan atau bencana tidak hanya terjadi apabila pelajar keluar dari sekolah sahaja.
Ayat Betul
Kemalangan atau bencana tidak hanya terjadi apabila pelajar keluar dari sekolah.
Kemalangan atau bencana tidak terjadi apabila pelajar keluar dari sekolah sahaja.
Jadual 17: Kesalahan Kata Penegas
Perkataan “hanya” dan “sahaja” tidak boleh digunakan dalam satu ayat. Dalam satu ayat yang baik, penggunaan “hanya” dan “sahaja” tidak digunakan serentak. Sekiranya ayat mempunyai perkataan “hanya”, maka perkataan “sahaja” tidak harus digunakan kerana dianggap lewah. Jadi, ayat dapat diperbetul dengan menggugurkan “hanya” atau “sahaja”.


            Sebagai kesimpulannya, terdapat lima jenis kesalahan yang dapat dijumpai dalam petikan “Perpaduan Asas Kejayaan” ini. Kesalahan-kesalahan ini harus diperbetul untuk menyampaikan maksud yang tepat dengan menggunakan tatabahasa yang betul.

7 comments:

  1. Analisis yang jelas, tepat, dan senang difahami.
    Tahniah....

    ReplyDelete
  2. Hasil analisis ditulis dalam bentuk yang jelas dan mudah difahami.

    ReplyDelete
  3. Analisis yang lengkap dan jelas. Bagus.

    ReplyDelete
  4. Hasil analisis kesalahan tatabahasa yang lengkap dan tepat. Jenis kesalahan tatabahasa dibahagikan dengan jelas dan teliti. Pembetulan yang dinyatakan meningkatkan kefahaman pembaca.

    ReplyDelete
  5. Penjelasan yang jelas, memudahkan pembaca untuk memahami kesalahan yang dilakukan oleh penulis petikan.

    ReplyDelete
  6. hasil analisis yang jelas dan tepat..Syabas!

    ReplyDelete